Tuesday, May 26, 2009

Takaful IKHLAS Anjur Program Keagamaan Di MSAM 2009

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Syarikat penyedia produk dan perkhidmatan perlindungan kewangan berasaskan syariah, Takaful IKHLAS Sdn Bhd (Takaful IKHLAS) menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 (MSAM'09) yang sedang berlangsung di Plaza Angsana, Johor Baharu dari 18 hingga 27 April.

Sebagai Rakan Program Keagamaan bagi MSAM'09, Takaful IKHLAS menyediakan gerai yang menawarkan pelbagai maklumat dan aktiviti mengenai simpanan dan pelaburan yang berlandaskan konsep syariah.

"Selain memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai konsep takaful, peranan dan manfaat kemudahan simpanan perlindungan serta produk-produk kami kepada orang ramai, kami juga menganjurkan aktiviti-aktiviti keagamaan yang menjadi wadah yang baik bagi semua yang berkunjung ke MSAM'09," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Sdn Bhd, Syed Moheeb bin Syed Kamarulzaman dalam satu kenyataan.

Antara aktiviti menarik yang dianjurkan adalah kuiz yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan seperti pakej haji dan umrah serta hadiah sagu hati berupa deposit sebanyak RM200 ke dalam akaun Tabung Haji untuk pengunjung Muslim dan akaun simpanan bagi pengunjung bukan Muslim, kata kenyataan itu.

Aktiviti-aktiviti lain adalah pemeriksaan kesihatan percuma pada 19 April dan 25 April serta rakaman program 'Forum Perdana', 'Al Kuliyyah' dan 'Al Hidayah' pada 23 hingga 25 April.

Selain itu, Takaful IKHLAS turut mengundang Pertubuhan Profesional Islam, Pertubuhan Agensi Pelancongan Muslim serta Dewan Perniagaan Melayu Singapura bagi tujuan perkongsian ilmu mengenai produk dan perkhidmatan takaful, kata kenyataan itu.

Takaful IKHLAS yang mula beroperasi pada Julai 2003 merupakan anak syarikat MNRB Holdings Berhad, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia di mana pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Berhad melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

-- BERNAMA

No comments: