Thursday, January 14, 2010

Takaful IKHLAS Terima Dua Anugerah BrandLaureate PKS 2009

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Syarikat penyedia produk dan perkhidmatan perlindungan kewangan berasaskan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS), memenangi dua Anugerah BrandLaureate SMEs Chapter Awards 2009.

Takaful IKHLAS memenangi anugerah itu bagi kategori Penjenamaan Korporat - Jenama Terbaik dalam Perkhidmatan Perlindungan Kewangan Islam dan juga Penjenamaan Produk - Jenama Terbaik dalam Perkhidmatan Insurans Kesihatan, yang juga dimenanginya tahun lepas, kata syarikat itu menerusi kenyataan Rabu.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, di sini baru-baru ini.

Anugerah BrandLaureate, yang juga dikenali sebagai Anugerah Grammy bagi Penjenamaan, mengiktiraf jenama terbaik dari Malaysia dan Asia Pasifik, meliputi pelbagai industri dan kategori; dalam kalangan syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat senaraian awam.

Dianjurkan oleh Yayasan Jenama Asia Pasifik, pemenang dipilih berasaskan kriteria 300 mata penghakiman yang ketat, meliputi strategi jenama, komunikasi jenama serta ekuiti dan prestasi jenama.

"Kejayaan ini benar-benar mencerminkan semangat Malaysia Boleh dan tahap yang boleh dicapai Takaful IKHLAS dalam menyebarkan muamalat Islam serta menjenamakan produk takaful di negara ini," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

"Anugerah ini membuktikan bahawa produk Takaful IKHLAS adalah setanding dengan produk syarikat-syarikat besar yang telah lama bergiat aktif, bukan sahaja dalam industri takaful tetapi juga insurans," katanya.

Menurutnya, produk-produk perlindungan Takaful IKHLAS semakin berkembang, dan ini membuktikan produk-produk tersebut menepati citarasa dan keperluan rakyat Malaysia.

Syed Moheeb berkata pada awal pembukaan Takaful IKHLAS pada 2003, syarikat itu mengalami fasa pertumbuhan dan transformasi yang mencabar dalam pasaran industri takaful.

"Apabila kami cuba menarik pasaran tempatan, kami terpaksa menerangkan kelebihan Takaful IKHLAS seperti manfaat, keistimewaan serta nilai wang bagi setiap pelan dan produk perlindungan yang kami keluarkan.

"Pihak kami merangka pelbagai pelan agar peranan dan tanggungjawab asasi Takaful IKHLAS dalam menyebarluaskan lagi muamalat Islam, di negara kita khususnya dan di peringkat global amnya, dapat dicapai," katanya.

Takaful IKHLAS memenangi pelbagai anugerah berprestij di peringkat tempatan dan antarabangsa sebelum ini, katanya.

Takaful IKHLAS yang mula beroperasi pada Julai 2003, merupakan anak syarikat MNRB Holdings Berhad, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang disenarai di Papan Utama Bursa Malaysia, dengan pemegang saham utamanya terdiri daripada Permodalan Nasional Berhad melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

Takaful IKHLAS mempunyai dua pusat perkhidmatan pelanggan di Kuala Lumpur dan Selangor serta pejabat wilayah di Kuala Lumpur, Kota Baharu, Johor Baharu, Sungai Petani, Kuching, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Ipoh dan Putrajaya.