Thursday, July 23, 2009

Pengesanan awal artritis elak hilang upaya


Artritis menyerang sendi-sendi tangan menyebabkan pesakit hilang upaya. - Gambar hiasan


REUMATOID artritis (RA) ialah penyakit autoimun kronik yang dialami apabila sistem imun dalam badan menjadi tidak normal dan secara tidak sengaja menyerang sel atau tisu sihat dalam badan.

Penyakit progresif ini lazimnya menyerang sendi lebih kecil, khususnya jari, kaki dan pergelangan tangan yang boleh menyebabkan keradangan pada sendi dan tulang sekeliling.

Keadaan tersebut apabila dibiarkan berlarutan akhirnya boleh menyebabkan pesakit kehilangan upaya untuk berfungsi sekali gus menjejaskan kualiti hidup mereka seharian.

Berdasarkan perangkaan terdapat kira-kira 23.7 juta orang menghidap RA di seluruh dunia. Manakala di Malaysia pula kira-kira 0.5 peratus daripada jumlah penduduk iaitu sebanyak 135,000 orang dikesan menghidap penyakit tersebut.

Naib Presiden Persatuan Reumatologi Malaysia, Dr. Gun Suk Chyn berkata, pesakit biasanya akan mengalami gejala seperti kesakitan, bengkak, kemerahan, dan kekejangan dalam sendi.

Bagi mengurangkan kesakitan tersebut, ramai pesakit akan mengambil penahan sakit sama ada belian daripada kaunter atau preskripsi daripada pengamal am atau juga mencari rawatan tradisional.

"Ini mungkin mengakibatkan kelewatan dalam rawatan, tanpa menyedari bahawa besar kemungkinan kemerosotan sendi berlaku dalam dua tahun pertama selepas penyakit dikesan," katanya pada sesi penerangan kepada media mengenai RA.

Sesi anjuran Abbott Laboratories (M) Sdn. Bhd., dengan kerjasama MSR dan Kementerian Kesihatan tersebut bertujuan memberi kesedaran mengenai bebanan peribadi dan ekonomi yang ditanggung pesakit disebabkan penyakit tersebut.

Menurut Dr. Gun lagi, keradangan sendi disebabkan RA boleh mengakibatkan kerosakan pada sendi dan tulang sekelilingnya.

Sendi yang paling kerap terjejas di peringkat awal serangan penyakit ialah sendi kecil pada jari, kaki dan pergelangan tangan.

Penyakit tersebut juga boleh menjejaskan siku, lutut, buku lali dan pinggul, biarpun tidak begitu kerap.

"Sungguhpun tiada penawar untuk RA, pesakit boleh mendapatkan rawatan yang bukan sahaja melegakan kesakitan dan keradangan, tetapi juga melambatkan penularan penyakit.

"Dengan demikian ia dapat mencegah kerosakan sendi yang boleh menghalang pesakit daripada melakukan aktiviti harian," katanya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Artritis Malaysia, Dr. Amir Azlan, berkata, selain kos secara langsung, iaitu kos rawatan, pesakit RA sebenarnya akan turut mengalami kos tidak langsung yang jauh lebih membebankan.

Kos tidak langsung yang dimaksudkan ialah seperti kehilangan upaya untuk melakukan aktiviti harian biasa, kehilangan upaya untuk bekerja dan pergantungan kepada ahli keluarga dan penjaga kesihatan.

"Kos tidak langsung ini menjejaskan pesakit dan menyumbang kepada beban ekonomi negara.

"Berasaskan Statistik Ubat Malaysia 2005 yang diterbitkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal dan Pusat Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan, kos ubat untuk penyakit ini berjumlah RM50.7 juta.

"Sedangkan jumlah kos tidak langsung dianggarkan RM202.8 juta iaitu kira-kira empat kali ganda kos secara langsung," katanya.

Oleh itu beliau berkata, pengesanan dan rawatan awal RA adalah penting untuk mencegah keadaan penyakit menjadi teruk dan mengurangkan beban sosioekonomi negara.

Peringkat awal perubahan struktur sendi boleh dikesan sama ada melalui pemeriksaan ultrasound atau Magnetic Resonance Imaging (MRI) sebelum ia dapat dilihat melalui X-ray.

Begitupun kos setiap imbasan MRI adalah tinggi dan ia sudah pastinya membebankan pesakit.

Masalah tersebut kini mungkin dapat diatasi dengan pengenalan mesin ultrasound rangka otot.

Alat ini bertujuan mengesan keradangan sendi dan membolehkan kakitangan klinik membuat diagnosis lebih tepat, terutama sekali di peringkat awal penyakit dan seterusnya memantau kesan rawatan ke atas pesakit.

Ultrasound rangka otot berfungsi mengesan, memantau dan memulakan campur tangan dalam pengurusan penyakit reumatologi.

Mesin ini membolehkan penilaian keadaan penyakit RA berasaskan resolusi tinggi dan pada waktu sebenar.

Salah seorang profesor reumatologi dari Universiti Politecnicadelle Marchd, Itali, Prof. Walter Grassi, berkata, imbasan ultrasound rangka otot adalah salah satu cara untuk mengesan RA di peringkat awal.

"Menerusi kemajuan ultrasonografi, pakar reumatologi dapat meningkatkan tahap diagnosis dan rawatan reumatologi dengan memberikan maklumat yang lebih baik dan tepat.

"Dengan cara ini pesakit dapat diberi rawatan yang sewajarnya untuk mengawal penyakit dan membantu mengelakkan kehilangan upaya pesakit apabila penyakit menular," katanya.