Thursday, October 15, 2009

KHUTBAH TERAKHIR RASULLULLAH S.A.W.

Rasullullah s.a.w telah meninggalkan dua perkara yang teramat penting kepada kita,di mana dengan berpegangkan dua perkara ini,maka kita tidak perlu risau atau merasa takut lagi kerana ia akan menjadi benteng sekaligus senjata yang amat ampuh melawan syaitan-syaitan manusia dan syaitan-syaitan jin. Dua Senjata Utama umat Islam ini terkandung di dalam Khutbah Terakhir Rasullullah s.a.w,kepada umat Islam inilah harta pusaka yang tidak ternilai harganya ditinggalkan olh Rasullullah kepada kita.Hayati,sebar-sebarkan dan ambil peringatan daripadanya.

KHUTBAH TERAKHIR RASULLULLAH S.A.W. KHUTBAH INI DISAMPAIKAN PADA 9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH DI LEMBAH URANAH, GUNUNG ‘ARAFAH

Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan ! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba’, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba’ hendaklah dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama tidak ada seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya. Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku.


Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.

Tuesday, October 13, 2009

KESIHATAN: Peluang pesakit kronik

Jika anda mengalami kesakitan kronik, anda perlu membaca artikel ini kerana harapan untuk sembuh ada di sini.

Contoh penyebab kesakitan kronik

# Sakit pinggang dan tengkuk (akibat cakera tergelincir, sakit permukaan sendi)

# Sakit sendi (osteoartritis, artritis reumatoid)

# Sakit kepala (migrain atau bukan migrain)

# Sakit saraf

# Sakit yang berpunca daripada kanser

# Sakit otot dan fasia (sindrom kesakitan miofasia, fibromialgia)

# Sakit selepas pembedahan atau kecederaan

# Sakit yang berpunca daripada faktor psikologi

Sakit kronik berlarutan melebihi enam bulan. Tidak kira tahap atau punca kesakitan, kepakaran dalam merawat kesakitan kronik mula bertapak dan meningkat maju di Malaysia.

Kesakitan kronik pada masa lalu dipandang sepi disebabkan ramai pengamal perubatan kurang pengetahuan dan kepakaran. Tambahan pula faktor psikologi dan ciri kesakitan yang rentan pada rawatan biasa.

Akibatnya anda keseorangan menanggung sakit sepanjang hayat. Lebih teruk, ada pesakit boleh menahan sakit kerana menganggap ia sebahagian manifestasi sakit tua atau hukuman Tuhan kepada dosa silam.

Sepuluh tahun lalu kepakaran bidang rawatan kesakitan kronik tidak ada sama sekali. Ubat penahan sakit pula terbatas pilihannya.

Saya pernah melihat seorang pesakit kanser mati dalam kesakitan teruk selepas merayu diberi ubat penahan sakit. Dia mati dalam kesakitan yang dibawa mati.

Kini dengan ubat dan teknik moden, hampir semua kesakitan daripada kanser dan bukan kanser dapat dirawat dengan berkesan.

Selepas 10 tahun dalam profesion ini saya berpendapat dengan adanya teknologi canggih dan kepakaran baru, sebenarnya tiada batasan dalam merawat kesakitan kronik.

Apa perlu pesakit lakukan ialah bertemu pakar dalam bidang berkenaan. Objektif utama rawatan kesakitan kronik ialah melegakan kesakitan sebanyak mungkin dan mengembalikan fungsi pesakit (kembali bekerja).

Kenapa anda perlu merawat kesakitan kronik?

1. Sakit adalah kesengsaraan emosi dan tubuh badan (somatik) yang menyeksakan.

2. Kesakitan kronik tidak membunuh, tapi ia membunuh kehidupan anda. Ia merebak dan menyekat pesakit daripada bergerak bebas. Anda tidak dapat bekerja dan produktiviti menurun. Anda tidak dapat tidur lena dan ini meletihkan. Anda tidak dapat berfungsi pada diri dan keluarga dan akhirnya membawa kepada kemurungan.

3. Kesakitan kronik menyebabkan penyakit lain menyusul seperti kekakuan sendi, kudis tekanan, otot yang kecut dan lemah, tulang rapuh, jangkitan pada pundi kencing dan paru-paru disebabkan kekurangan pergerakan tubuh badan.

4. Merawat kesakitan akut dan kronik adalah satu etika perubatan dan juga hak asasi pesakit yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh doktor.

5. Negara membangun seperti Malaysia banyak menitik beratkan mutu kehidupan untuk menjamin keselesaan dan produktiviti berkekalan. Rawatan kesakitan kronik memberi keselesaan dan menjamin produktiviti bila sakit tidak lagi menjadi penghalang daripada bekerja.

Kesedaran kepakaran rawatan kesakitan kronik

Secara umumnya pengetahuan rawatan sakit kronik di kalangan pengamal perubatan masih kurang.

Oleh itu banyak usaha dilakukan untuk mengiktiraf kesakitan sebagai entiti klinikal yang penting kerana membabitkan kesengsaraan tubuh dan emosi.

Malah, kesakitan kini diiktiraf sebagai ‘tanda utama kelima’ iaitu satu daripada ukuran asas paling penting setiap pesakit apabila berjumpa doktor, selain tekanan darah, suhu badan, kadar nadi dan kadar pernafasan.

Doktor mengukur tahap kesakitan dengan satu kad VAS (skala analog visual) iaitu pesakit dikehendaki menunjukkan skor kesakitan bermula dari 0 hingga 10.

Kosong bermakna tiada kesakitan manakala ‘10’ adalah kesakitan tahap maksimum yang tidak mampu bertahan. Teknik ini sudah lama diguna pakai di Australia, Amerika dan Singapura.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan melancarkan kempen ini di hospital kerajaan sejak tahun lalu. Ukuran ini penting memandangkan 60 hingga 70 peratus pesakit yang hadir di unit kecemasan hospital memberi gejala sakit sebagai masalah utama.

Kajian pula menunjukkan 30 peratus masyarakat mengalami sakit kronik manakala 40 hingga 80 peratus pesakit ini gagal mendapat rawatan berkesan untuk mengawal kesakitan.

Banyak faktor menyumbang kepada kegagalan rawatan sakit kronik. Selain kurang pengetahuan dan kepakaran di kalangan doktor, kesedaran pesakit mengenai adanya doktor yang memiliki kepakaran khusus dalam rawatan juga rendah. Bilangan doktor pakar dalam bidang ini juga sedikit.

Sebahagian doktor mengambil pendekatan dan beranggapan semua doktor boleh merawat sakit. Kajian kami mendapati 30 peratus kes kesakitan kronik mempunyai diagnosis salah oleh doktor yang merawatnya.

Kesilapan diagnosis membawa kepada rawatan tidak tepat. Kesannya pesakit kekal dalam kesakitan.

Doktor bedah juga mampu mengawal kesakitan selepas pembedahan dengan memberi suntikan morfin. Namun apabila kesakitan menjadi luar kawalan dan mereka gagal merawatnya, ini masa untuk merujuk kepada doktor pakar sakit kronik.

Seperti sakit darah tinggi, semua doktor tahu merawat jika ia mudah dan tidak kompleks. Namun jika tidak dapat dikawal selepas rawatan dengan satu atau dua jenis ubat, doktor akan merujuk kepada pakar perubatan.

Hakikatnya bukan semua doktor atau doktor pakar mahir dalam semua jenis penyakit. Fenomena ini lebih ketara apabila doktor mengambil pengkhususan dalam subkepakaran tinggi.

Skop rawatan menjadi lebih mendalam tapi dalam skop lebih kecil. Daripada segi etika dan protokol rawatan, doktor perlu merujuk kesakitan kronik kepada pakar sakit kronik jika ia di luar kemampuannya.

Namun amalan masih kurang di kalangan pengamal perubatan disebabkan beberapa faktor lain. Setidak-tidaknya doktor perlu berbincang dengan pakar sakit kronik apabila merawat pesakit kerana ia bukan mudah.

Merujuk pesakit kepada doktor pakar sakit kronik adalah satu daripada isi penting dalam kempen Kementerian Kesihatan yang mengiktiraf kesakitan sebagai satu ‘Tanda Utama’. Melegakan kesakitan termaktub dalam etika perubatan dan diiktiraf sebagai hak asasi pesakit.

Di Malaysia bidang ini masih baru tetapi pencapaian kita dalam bidang ini membanggakan. Pakar sakit kronik di Malaysia kurang daripada 10.

Justifikasi seorang pakar mungkin berbeza keadaan sakit kronik itu yang bersifat subjektif dan berbeza di antara pesakit. Sebagai contoh, seorang pakar mampu merawat sakit belakang berpunca daripada cakera tergelincir (slip disc) dengan hanya kaedah suntikan membabitkan kejayaan 90 peratus tanpa perlu pembedahan.

Malah dengan kepakaran, ubatan dan teknologi terkini, hampir semua sakit belakang dapat dirawat dengan hanya kaedah suntikan. Ia terbukti berkesan tanpa menghadapi risiko tinggi. Teknik ini menjadi pilihan rawatan pembedahan tulang belakang dengan kos lebih murah.

Apa yang dapat dilakukan pakar?


1. Menilai semula punca sakit kronik anda dengan tepat dan menyeluruh

2. Membuat penilaian akan kesan atau impak sakit kronik pada kehidupan anda daripada aspek biopsikososial

3. Merangka strategi bersepadu untuk melegakan kesakitan dan mengembalikan fungsi anda

4. Memberi rawatan ubat yang pelbagai (multimodal) dalam pelbagai bentuk seperti pil, kapsul, tampalan pada kulit dan sirap dengan terperinci

5. Dapat melakukan kaedah ‘intervensi kesakitan’, iaitu kaedah suntikan khusus yang dapat mengawal tahap kesakitan anda seperti teknik epidural, neurolisis, radiofrekuensi dan suntikan botox.

6. Membimbing anda mengembalikan kehidupan harian, bersosial dan kembali bekerja melalui aktiviti fizikal dalam bentuk senaman, teknik rehat dan terapi kognitif.

Apakah tindakan anda jika mengalami kesakitan kronik?

Jika sakit masih berlarutan selepas berjumpa beberapa doktor, ini masanya berjumpa doktor pakar sakit kronik. Anda perlu bertindak sekarang sebelum menjadi lebih serius.

Setidak-tidaknya anda ambil inisiatif untuk mendapat pandangan kedua mengenai penyakit anda.

Jika doktor yang merawat tidak melakukannya, anda perlu mengingatkan doktor dan memintanya merujukkan anda kepada pakar. Rekod dari Pain Unit HUSM, hampir 75 peratus pesakit dapat dipulihkan iaitu kesakitan dapat dikurangkan hingga melebihi 50 peratus.


Oleh DR NIZAR ABD JALIL (Pakar Bius dan Kesakitan Kronik, Hospital Universiti Sains Malaysia)

Tuesday, October 6, 2009

Barah pangkal rahim

Barah pangkal rahim

* Malaysia membelanjakan RM250 juta setahun untuk menguruskan barah pangkal rahim.
* Daripada jumlah itu hanya sembilan peratus digunakan untuk ujian pengesanan awal barah pangkal rahim - ujian lumuran pap.
* Daripada keseluruhan kes barah di Malaysia, barah pangkal rahim menduduki tempat kedua selepas barah payu dara.
* Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir 500,000 wanita diserang barah pangkal rahim setiap tahun.

Mengenali barah pangkal rahim

* Disebabkan oleh jangkitan kuman human papillomavirus (HPV).
* Pangkal rahim secara saintifiknya bertindak sebagai laluan. Darah mengalir dari uterus melaluinya untuk ke faraj ketika haid.
* Pangkal rahim juga menghasilkan mukus yang membantu sperma bergerak ke dalam rahim. Ketika hamil, pangkal rahim tertutup rapat bagi melindung janin. Ketika proses kehamilan, pangkal rahim terbuka untuk membenarkan bayi lahir.
* Barah pangkal rahim bermula seperti kebanyakan barah di mana-mana bahagian tubuh, ia bermula di dalam sel.


* Selain HPV, faktor lain seperti merokok, sistem imun tubuh wanita, komplikasi pengambilan pil cegah hamil hanya sebahagian faktor lain yang dikaitkan dengan barah pangkal rahim.
* HPV adalah virus yang sangat biasa ditemui pada lelaki dan wanita dan ada lebih 100 jenis HPV.
* Lebih 50 peratus orang akan mengalami satu daripada jenis HPV itu sekali dalam hidupnya. Manakala jenis HPV yang lebih berisiko tinggi (misalnya jenis 16 dan 18) pula akan menjadi punca barah pangkal rahim.
* HPV amat mudah berjangkit. Malah, kebanyakan orang dijangkiti HPV pada tahun-tahun pertama mereka aktif dalam hubungan seksual. Justeru, ujian lumuran pap sangat disarankan.


Faktor dijangkiti HPV.

* Tidak melakukan rutin ujian lumuran pap
* Sistem tubuh yang lemah
* Usia (barah pangkal rahim lebih banyak terjadi pada wanita berusia 40 tahun ke atas).
* Ramai pasangan seks atau perempuan yang melakukan hubungan intim dengan lelaki yang banyak pasangan seks.
* Merokok
* Komplikasi penggunaan pil perancang dalam masa yang panjang

Jenis-jenis kanser yang menyerang wanita

PENGURANGAN risiko kanser boleh dilakukan dengan mengubah gaya dan tatacara kehidupan.

Perhatian perlu diberi pada keadaan badan, perasaan tahap kesihatan diri dan juga bentuk serta rupa struktur badan. Ujian saringan juga perlu ditekankan bagi mengesan kanser dengan lebih awal.

Sel-sel normal yang membina tisu badan mengalami tumbesaran, membahagi serta penggantian secara teratur dan tenteram. Kadangkala sel-sel tua yang sepatutnya digantikan, masih meneruskan tumbesarannya. Pertumbuhan ini mungkin tidak teratur dan bercelaru, akhirnya mereka menjadi luar kawalan dan seterusnya bertukar pada ketumbuhan yang ganas (malignan) ataupun yang tidak ganas (benign).

Ketumbuhan yang tidak ganas (benign) tidak merebak ke bahagian lain dan lazimnya tidak membimbangkan. Pembedahan terpaksa dilakukan jika saiz ketumbuhan terlalu besar dan memberi tekanan kepada organ-organ berhampirannya.

Ketumbuhan yang ganas pula (malignan), akan menakluk, merosakkan dan merebak pada organ-organ berhampiran dan juga organ yang jauh serta boleh menyebabkan ketumbuhan baru di tempat lain.

Faktor keturunan (kehadiran gen-gen tertentu) juga boleh menyebabkan ketumbuhan berlaku selain pendedahan kepada sinar-sinar tertentu, bahan kimia, virus dan bermacam jenis faktor persekitaran lain.

Jenis-jenis kanser bergantung pada bahagian anatomi badan yang terlibat seperti paru-paru, payudara, kulit, ovari, rahim, pangkal rahim, faraj, vulva, usus besar dan rektum.

Semua penyakit boleh dicegah atau dirawat sekiranya pengesanan dapat dilakukan pada peringkat awal.

Lazimnya terdapat tanda-tanda awal yang harus diamati dan diperhatikan. Juga sebagai satu bentuk pencegahan, golongan wanita dinasihatkan supaya menjalani penyaringan secara berkala untuk mengenal pasti kanser di peringkat awal.

Petanda awal

Di antara petanda-petanda awal kanser pada bahagian badan berkenaan adalah perubahan pada tabiat kebiasaan pundi kencing dan juga usus besar.

Selain itu, luka-luka yang tidak sembuh, pendarahan ataupun discaj yang tidak pernah dialami, penebalan ataupun tongkol-tongkol pada payudara ataupun bahagian kulit yang lain serta perubahan pada tahi lalat atau mana-mana tompok kulit juga mungkin menjadi petanda awal kanser tertentu.

Pesakit juga perlu peka untuk ujian masalah kesusahan menelan serta keabnormalan pencernaan makanan atau minuman selain batuk yang tidak hilang dan juga perubahan pada suara.

Perlu diingat bahawa ini bukanlah petanda mutlak kanser tetapi hanya kehadiran gejala berkenaan sepatutnya dirujuk kepada doktor.

Kesakitan biasanya bukan tanda-tanda awal kanser. Walau bagaimanapun, jangan ditunggu sehingga kesakitan menjelma, barulah rujukan mahu dibuat kerana ketika itu mungkin sudah terlambat.

Kanser paru-paru

Majoriti pesakit mendapat kanser paru-paru dari aktiviti merokok. Wanita yang merokok mempunyai risiko 12 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat kanser paru-paru jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok.

Walaupun jika anda bukan perokok, tapi menyedut asap rokok secara pasif juga dapat menambahkan risiko kanser paru-paru.

Lazimnya tanda-tanda kanser paru-paru hanya jelas kelihatan apabila penyakit tersebut sudah pun di peringkat yang teruk.

Pesakit pada kebiasaannya mengalami batuk yang tidak sembuh-sembuh, kahak bercampur darah, sakit dada, berbunyi apabila menghembus nafas (wheezing), stamina pernafasan yang cetek serta keserakan suara.

Selain itu, penghidap kanser jenis ini juga mengalami episod berulang-ulang penyakit pneumonia dan juga bronkitis, kurang selera makan serta jatuh berat badan dan selalu mendapat demam.

Untuk mengelak kanser paru-paru, jangan mulakan merokok serta jauhkan diri dari asap rokok. Untuk mereka yang sudah pun mula merokok, carilah pertolongan supaya dapat membuang tabiat tersebut.

Kanser payudara

Kanser ini adalah antara penyebab kematian utama di kalangan wanita. Kebarangkalian untuk seorang wanita mendapat kanser ini pula adalah satu dalam lapan (1:8). Di antara faktor-faktor yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser jenis ini termasuk peningkatan umur, sejarah keluarga dengan kanser payudara (terutamanya di sebelah ibu atau saudara perempuan) serta pembawa gen genetik abnormal BCRA1 dan BCRA2.

Selain itu, penggunaan hormon gantian tanpa pengawasan doktor, pendedahan kepada radiasi serta sejarah menghidap kanser payudara juga meningkat risiko anda.

Penyusuan badan, pengurangan berat badan serta bersenam dapat mengurangkan risiko kanser ini.

Seperti juga mana-mana kanser lain, pengesanan awal dapat mencegah dan mungkin menyembuhkan dengan rawatan awal.

Di antara perubahan awal yang perlu diperhatikan termasuk pembengkakan, tonjolan, kekerasan, penebalan dan juga pengecutan kulit pada payudara.

Kerengsaan pada kulit payudara serta puting yang tenggelam ke dalam, bersisik, berdarah, mengalami discaj, sakit serta tidak selesa perlu disiasat untuk kemungkinan kanser.

Anda dinasihatkan supaya menjalani ujian mammografi sekurang-kurangnya setahun sekali terutamanya sekiranya sudah menjangkau umur 50 tahun. Selain itu, anda juga harus proaktif dalam memeriksa payudara sendiri kerana diri sendiri lebih tahu perubahan awal badan.

Kanser usus dan rektum (kanser kolorektal)

Kanser kolorektal ini perlahan tumbesarannya dan pada kebiasaannya bermula dengan polip di usus sebelum menjadi kanser. Anda dikategorikan sebagai berisiko sekiranya mempunyai waris terdekat (ibu, ayah, adik-beradik) dengan polip atau kanser kolorektal semasa berumur kurang dari 60 tahun, mempunyai penyakit yang melibatkan usus atau diri sendiri mempunyai polip di usus.

Lazimnya kanser kolorektal tidak mempunyai apa-apa petanda peringkat awal, tetapi selalunya didiagnosis pada peringkat lewat.

Antara petanda kanser jenis ini adalah perubahan dari kebiasaan tabiat usus, pendarahan dari rektum, darah di dalam najis ataupun najis berwarna hitam, najis menjadi panjang dan bergaris pusat kecil serta ketidakselesaan abdomen (kembung, kejang dan sering kentut atau sedawa).

Selain itu, selera makan juga menurun, rasa lemah serta letih tanpa sebab juga mungkin menjadi petanda kanser kolorektal yang akan memerlukan pemeriksaan lanjutan.

Bagi mereka yang telah melangkau umur 50 tahun, anda boleh menjalani ujian saringan seperti ujian darah di dalam najis setahun sekali, ujian sigmoidoskopi fleksibel setiap 5 tahun, ujian barium enema berkontras setiap 5 tahun serta ujian kolonoskopi setiap 10 tahun.

Walau bagaimanapun, ini bergantung pada faktor berlakunya kanser kolorektal setempat. Sekiranya statistik kejadian kanser kolorektal di tempat anda tinggi, makan anda juga berisiko dan lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga.

Kanser kulit

Walaupun sebagai orang asia kulit kita lebih berpigmen, anda juga berkemungkinan boleh terkena kanser kulit.

Jenis-jenis kanser kulit termasuk jenis sel basal (kulit nampak seperti lilin, pucat warnanya, mungkin timbul seperti mutiara dan kadangkala tompok bersisik), jenis sel skuamos (kehadirannya juga menyerupai sel basal) atau jenis melanoma (seperti tahi lalat, hanya membesar dengan perimeter tidak sekata, bertambah hitam dan senang berdarah).

Terdapat beberapa tanda pada kulit yang boleh diperhatikan seperti perubahan pada saiz tahi lalat, bersisik, berdarah dan juga seakan melecur.

Selain itu, perhatikan juga perubahan pada warna dan juga kehadiran tompok-tompok pada kulit, kegatalan, kesakitan dan juga ketidakselesaan pada biji-biji ataupun tahi lalat serta kudis yang tidak sembuh.

Pastikan yang anda juga memeriksa pada semua tempat sama ada yang terdedah atau terlindung daripada cahaya matahari.

Kanser ovari

Risiko untuk mendapat kanser telur adalah kecil, tetapi kebarangkaliannya meningkat dengan peningkatan usia terutamanya selepas melangkau usia 60 tahun. Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser jenis ini termasuklah kemandulan, makanan kaya dengan lemak, sejarah kanser usus dan payudara, endometriosis serta pembawa gen abnormal BRCA1 dan BRCA2.

Mereka yang kurang risikonya termasuklah mereka yang mengambil pil perancang keluarga, pernah melahirkan anak walaupun sekali dan mereka yang pernah menyusu badan.

Kanser ovari, bila dikesan, mungkin sudah pun terlambat. Oleh itu, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjutan seperti ultrasound memandangkan tidak ada ujian saringan khas untuk kanser ini.

Berjumpalah dengan doktor sekiranya anda mengalami ketidakselesaan di kawasan pinggul, kembung, sendawa, bergas, kesukaran pencernaan yang tidak dapat dijelaskan, pendarahan abnormal melalui faraj serta pembengkakan abdomen.

Kanser rahim

Risiko kanser rahim meningkat selepas umur 55 tahun, terutamanya mereka di dalam julat di antara 60 hingga 75 tahun dan jarang berlaku di kalangan mereka di bawah 40 tahun.

Mereka yang menggunakan pil perancang keluarga juga mempunyai risiko yang rendah.

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser rahim termasuklah penggunaan hormon gantian estrogen sahaja (tanpa progesteron), tidak pernah melahirkan anak, putus haid selepas umur 52 tahun, lebih berat badan, darah tinggi, kencing manis serta penyakit lain seperti masalah tiroid dan hempedu.

Penggunaan ubat Tamoxifen, Hiperplasia lapisan dalaman rahim, penyakit keturunan seperti kanser usus juga meningkat risiko kanser rahim.

Anda juga berisiko sekiranya mempunyai haid tidak teratur dan kerap kali tidak datang haid.

Tanda-tanda amaran kanser rahim termasuklah pendarahan selepas menopaus, discaj atau lelehan di antara tempoh haid dan haid yang berpanjangan dengan kehadiran darah yang banyak.

Biasanya doktor tidak menjalankan saringan untuk kanser rahim, tetapi sekiranya disyaki, anda mungkin dikehendaki menjalani ujian-ujian seperti:

“Biopsi endometrial – pensampelan tisu dari dalaman rahim untuk kajian.

“Pemeriksaan ultrasound – terutamanya ultrasound melalui faraj, mengukur ketebalan dinding endometrium.

“Penkuretan dan dilatasi – pangkal rahim di buka, dan dalam rahim disedut ataupun dicalit untuk kajian lanjutan.

“Histeroskopi – penggunaan peralatan optik untuk melihat secara langsung dengan pembesaran imej dan persekitaran di dalam rahim.

Kanser pangkal rahim (serviks)

Ujian saringan PAP dapat mengesan keabnormalan pangkal rahim pada peringkat awal. Ujian lanjutan seperti kolposkopi mungkin dijalankan untuk kepastian. Contoh tisu pangkal rahim diambil untuk kepastian jika ianya kanser rahim.

Puan berisiko tinggi untuk kanser pangkal rahim sekiranya mempunyai infeksi virus HIV (Human Immunodeficeincy Virus), virus HPV (Human Papilloma Virus), sistem imuniti badan yang lemah atau terdedah pada ubat diethylstilbesterol (DES) semasa anda di dalam kandungan (ubat ini tidak lagi digunakan sekarang).

Peringkat awal kanser ini lazimnya tidak menunjukkan sebarang petanda tetapi sekiranya mengalami mengalami masalah berikut, segeralah berjumpa dengan doktor.

“Discaj atau lelehan abnormal melalui faraj

“Pendarahan abnormal melalui faraj

“Pendarahan selepas hubungan kelamin

Sekarang terdapat imunisasi terhadap kanser pangkal rahim yang disebabkan oleh HPV dan ianya dinasihatkan diberikan pada anak-anak perempuan yang berumur antara sembilan hingga 26 tahun. Vaksin ini diberikan dalam tiga dos.

Walaupun divaksinasi, ujian saringan PAP masih perlu dilakukan kerana terdapat beberapa jenis lagi virus HPV yang tidak dapat dilindungi melalui vaksinasi.

Kanser faraj dan vulva

Kebanyakan kanser jenis ini berlaku pada mereka berusia melebihi 60 tahun. Sekiranya anda mengalami perkara-perkara berikut di sekitar alat kelamin, dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor dengan segera.

“Kudis, pembengkakan yang tidak hilang-hilang

“Kegatalan

“Pendarahan yang abnormal

“Perubahan pada kulit-kulit di sekitar, seperti perubahan pada tahi lalat

Perokok dan mereka yang dijangkiti virus HPV berisiko tinggi. Biopsi tisu pada luka-luka yang timbul mungkin perlu diambil untuk ujian saringan lanjutan.

Secara umumnya, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan risiko kanser terhadap diri anda seperti:

- Tidak merokok atau berhenti merokok

- Kurangkan pengambilan makanan dengan lemak tepu atau lemak trans

- Banyakkan makanan berserat tinggi

- Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala

- Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari

- Sekiranya anda berkulit cerah atau kurang pigmen kulit, hadkan pendedahan pada cahaya matahari

- Tumpuan dan perhatian pada sebarang perubahan pada badan anda

- Jangan amalkan tatacara serta gaya hidup seksual secara bebas

- Amalkan ujian tertentu yang patut dilakukan pada umur serta julat tahun tertentu

- Kurangkan pengambilan minuman beralkohol.

Oleh Prof. Madya Dr. Shah Reza (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM))