Thursday, April 23, 2009

Takaful Sakinah khas kakitangan kerajaan Johor


Takaful Sakinah khas kakitangan kerajaan Johor
21 Apr 2009

JOHOR BAHRU 20 April - Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. kini menyediakan pelan perlindungan kewangan khas kepada kakitangan jabatan serta agensi kerajaan negeri Johor.

Pelan perlindungan yang dipanggil Skim Takaful Sakinah itu memberi kemudahan perlindungan komprehensif berasaskan Takaful kepada pesertanya.

Ia yang dipasarkan melalui Insist Amilat Sdn. Bhd. (anak syarikat Perbadanan Islam Johor), memberikan sumbangan pada kadar yang menarik dan berpatutan ke dalam akaun pelaburan peserta.

Selain wujudnya elemen simpanan untuk hari persaraan, ia juga dicipta untuk meminimumkan pilihan risiko, kata Presiden Takaful Ikhlas Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

Pelan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 di sini hari ini.

"Adalah menjadi hasrat Takaful Ikhlas untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Johor melalui penyediaan perkhidmatan perlindungan Skim Takaful Sakinah yang berkualiti dan terbaik kepada kakitangan jabatan dan agensi kerajaan negeri Johor," kata Syed Moheeb.

Takaful Ikhlas mengunjurkan sasaran sumbangan tahunan sebanyak RM5 juta dengan jumlah peserta seramai 5,000 orang.

Antara faedah perlindungan di bawah skim takaful itu ialah manfaat kematian biasa, manfaat kematian akibat kemalangan, manfaat hilang upaya kekal dan menyeluruh akibat sebab-sebab biasa, manfaat perbelanjaan kematian, akaun simpanan serta pendapatan untuk rawatan hospital.

Kakitangan jabatan dan agensi kerajaan negeri Johor yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim tersebut di gerai Takaful Ikhlas di Padang B, Plaza Angsana, Tampoi di sini yang dibuka khas sempena MSAM 2009.

Mereka yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke MSAM itu boleh pergi ke pejabat Takaful Ikhlas di Unit G.02 & M.02, Wisma LKN, No. 49, Jalan Wong Ah Fook di sini.

Syed Moheeb berkata penambahan Skim Takaful Sakinah di dalam senarai produk takaful Ikhlas adalah selaras dengan komitmen berterusan syarikat untuk membangunkan serta mengukuhkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti kepada orang ramai. -

No comments: