Thursday, December 4, 2008

Krisis Ekonomi US : Gambaran, Ulasan & Pandangan Islam

Amerika Syarikat sedang menghadapi kejatuhan ekonominya akibat sistem kapitalis. Apa sebenarnya yang berlaku dan apa kaitannya dengan riba?. Dan adakah jika sistem kewangan dan ekonomi Islam dilaksanakan, kita akan terselamat dari malapetaka seperti ini. Tulisan ini akan cuba mendedahkan isu ini dalam bentuk yang separa ilmiah dengan kumpulan sasaran pembaca orang awam.

Justeru, jika anda seorang cendiakawan ekonomi, kewangan dan perbankan, saya kira tulisan ini mungkin tidak menambahkan sebarang nilai dan pengetahuan baru buat anda. Saya juga menggunakan bahasa-bahasa bukan kewangan bagi memudahkan kefahaman orang awam dalam memahami isu ini secara mudah.

Walaupun isu ini agak kompleks untuk diterangkan dengan mudah kepada pembaca yang tiada basic ilmu kewangan dan perbankan (kerana ia perbincangan berkenaannya banyak menggunakan istilah-istilah khusus kewangan dan perbankan), namun saya akan cuba sekadar kesempatan waktu dan kemampuan yang ada untuk memberi faham. Isunya begini..

Kegawatan bermula dari kes pinjaman dan pensekuritian bon Subprima.


Justify Full
FAHAMI SUBPRIME MORTGAGE TERLEBIH DAHULU

Subprime mortgage atau dalam bahasa Malaysia kita sebut "peluang kedua pinjaman".

Ia adalah pinjaman wang yang diberikan kepada sekumpulan pengguna miskin, manakala sebahagian lainnya tidak menepati kriteria peminjam yang BOLEH diluluskan jika dilihat dari piawaian sesebuah bank. Ia disebut sebagai mempunyai ‘credit rating' yang rendah. Mereka ini biasanya terdiri dari :-

* mereka yang mempunyai pendapatan rendah,
* mempunyai sejarah dan rekod kegagalan bayaran hutang yang tinggi, atau ‘rekod merah'.
* mereka yang beban hutangnya telah melebih kemampuan pendapatannya,
* para spekulator yang tiada mempunyai wang tetapi ingin membeli untuk tujuan pelaburan dan lain-lain lagi.

Walaupun demikian, mereka telah diberikan peluang kedua untuk membuat pinjaman.
Perlu diingat, ia bukannya dibuat atas dasar ingin membantu tetapi berpunca dari sifat tamak pihak kapitalis dalam perolehan untung, mereka juga tidak menghiraukan samada kumpulan miskin dan bermasalah serta terdesak tadi akan semakin tertindas ataui tidak. Apa yang penting buat mereka adalah untuk mengambil peluang meraih untung sebanyak mungkin.

Telah saya tegaskan beberapa kali di web ini, apabila pinjaman diberikan kepada mereka yang berpotensi untuk gagal membayar balik, risiko kegagalan membayar hutang yang dinamakan ‘event of default' akan menjadi semakin tinggi. Menurut kebiasaan sesebuah bank, jika risikonya tinggi maka lagi tinggilah kadar riba ‘interest' yang akan dikenakan terhadap peminjam.

Menurut faktanya, apabila lebih 100 buah syarikat yang memberi pinjaman jenis subprime seperti New Century Financial Corporation memfailkan bankruptcy akibat gagal memperolehi pulangan beserta riba yang dikehendakinya, kegawatan mula kelihatan. Kegagalan ini membawa kerugian sebanyak USD 6.5 trillion dan memberikan kesan negatif kepada seluruh industri jual beli rumah, perbankan dan ekonomi USA. [1]

Isu ini mula menggugat ekonomi Amerika mulai tahun 2007 dan berterusan kesannya sehinggalah apa yang berlaku kepada kebrankupan dan kerugian besar syarikat gergasi di Bursa Saham Wall Street seperti Lehman Brothers, Merrill Lynch, AIG dll. Ia bakal membawa kesan domino atau kesan bertali kepada mana-mana syarikat yang mempunyai ikatan dengan mereka yang rugi ini, akan saya huraikan kemudian.

Ia bermula apabila sektor perumahan di USA menjadi bubble. Erti bubble dalam konteks ini adalah apabila nilai valuasi rumah meningkat sehingga mencapai tahap unsustainable iaitu tidak mampu lagi ditanggung jika dilihat kepada purata pendapatan penduduk.

Hasilnya, bilangan peminjam yang gagal ia disebut ‘defaulters' menjadi semakin tinggi. Keadaan ini merebak sehingga berlakunya krisis kegawatan pada bulan Ogos 2007 yang lalu.

APA KISAH CADANGAN KERAJAAN US UNTUK BAILOUT USD 700 BILION?

Apabila ini terjadi, nilai rumah tiba-tiba menjadi jatuh merudum pula sehingga banyak pihak yang telah membeli dan memegang rumah dan hartanah tidak lagi mendapat untung dari aset yang mereka pegang. Kerugian pun menjelma dan memberikan kesan kepada seluruh sektor kredit, perbankan dan ekonomi dunia. Pihak bank akan ditimpa Non Performing Loans (NPL) atau hutang tertunggak yang tinggi, selain itu ia juga memberi kesan rugi kepada seluruh sektor pembinaan, pembekal dan banyak lagi. Ia juga bakal membawa keruntuhan, hasilnya Presiden USA, George Bush telah memperuntukan ‘bail-out plan' dengan harga antara USD 700 billion ke USD 1 trillion untuk membeli aset pinjaman tertunggak yang merosakkan tersebut.

Pihak US merancang, setelah membeli semua aset tadi, mereka akan menjualnya semula dan memperolehi keuntungan pula darinya. Namun terdapat pakar pelaburan seperti Warren Buffet dan ramai lagi yang menganggap lebih bijak jika kerajaan membiarkan sebahagian sekuriti tenat dan tertunggak ini dijual di pasaran terbuka kepada sektor private dan bukannya dibeli oleh kerajaan. [2]

Secara ringkasnya isunya adalah :-

a) Apa yang menjadi isu dengan kes bail out terbaru ini adalah, jumlah besar itu adalah wang hasil kutipan dari pembayaran cukai dari seluruh warga USA. Namun malangnya wang cukai yang bayar mereka akan digunakan untuk menyelamatkan beberapa buah syarikat gergasi di Wall Street, sedangkan ramai yang tidak terlibat dengan aktiviti saham dan tidak mendapat faedah secara langsung dari bail-out ini. Inilah yang menyebabkan kemarahan orang ramai. Duit mereka digunakan untuk menyelamatkan si kaya manakala syarikat kecil dan sederhana tiada sebarang bantuan.

b) Selain itu, untuk mejayakan tujuan ini, kerajaan US terpaksa mencetak lebih banyak wang dan ini akan meningkat kadar inflasi iaitu nilai USD akan jatuh merudum.

c) Sebahagian pakar ekonomi menamkannya sebagai hyperinflation atau inflasi di luar kawalan. Selain itu purchasing power mereka turut jatuh.

Contoh hyperinflation adalah apa yang berlaku kepada Germany pada tahun 1923 apabila kadar tukarannya adalah Marks (Matawang German) 4,200,000,000,000 (4.2 billion) adalah sama dengan USD 1 sahaja!. Yang terbaru adalah Zimbabwe di mana nilai duit Zimbabwe sebanyak 688 billion adalah sama dengan USD 1. [3]

d) Ini juga bermakna, semua peminjam-peminjam di bank US terpaksa mencari sumber wang lain untuk mebayar hutang mereka disebabkan nilai matawang mereka menjadi kecil. Kalau dulu USD 1000 mereka boleh membayar pinjaman perumahan bulanan, namun akibat bail-out ini, nilai USD 1000 itu sudah jatuh kepada USD 900.

e) Ia juga boleh mengakibatkan pelbagai bencana ekonomi seperti berlakunya penyorokan barang pengguna kerana menunggu harga meningkat.

f) Hutang US juga pasti akan meningkat tinggi , dijangkakan hutang US akan meningkat kepada USD 11.3 trillion daripada jumlah sekarang iaitu USD 10.6 trillion. [4]

231 ahli akademik yang merupakan pakar ekonomi di univeristi seluruh USA membantah tindakan ini dalam satu surat yang ditandatangani bersama oleh mereka. Mereka menegaskan :-

"Investors who took risks to earn profits must also bear the losses. [...] The government can ensure a well-functioning financial industry [...] without bailing out particular investors and institutions whose choices proved unwise." [5]

PENSEKURITIAN PINJAMAN SUBPRIMA & PANDANGAN ISLAM

Bagi anda memahami isu ini dengan lebih tersusun, mari memhami isu subprime dan pensekuritiannya. Keadaan menjadi parah sebenarnya, apabila pinjaman-pinjaman SUBPRIME tadi telah disekuritikan menjadi . ‘Mortgage-backed Securities' ; (iaitu sijil-sijil boleh niaga yang disandarkan kepada sesuatu aset (asset-backed security ) yang mana cash flow atau aliran tunainya datang dari pembayaran pinjaman pokok dan interest bagi satu kelompok pinjaman perumahan. Kemudiannya ia diniagakan dengan risiko berbeza mengikut tahap-tahapnya. Dalam kes yang sedang kita bincangkan ini, kelompok pinjaman itu adalah dari pinjaman subprime yang telah diberitahu tadi. Sila lihat rajah untuk lebih faham.

MBS

Rajah : Proses MBS. [6]

Sila lihat kepada pulangan riba ‘expected return' yang dijanjikan kepada pelabur (pembeli sijil ini) yang disebut itu, pulangan itu gagal ditepati apabila pihak peminjam gagal membayar hutang rumah mereka.

Sekali lagi, apa erti sekuriti di sini?

Ia adalah satu proses mengumpulkan pinjaman-pinjaman ini dalam satu kumpulan (pool of portfolio), kemudiannya ditukar menjadi sebuah sijil pelaburan boleh niaga yang dinamakan bon atau sekuriti atau Mortgage Backed Securities.

Ia adalah sebuah instrument pelaburan riba yang menjanjikan PULANGAN TETAP bagi mereka yang berminat membelinya.

Disebabkan sifat tamak pelabur kapitalis, mereka telah menjual bon yang disandarkan kepada pinjaman Subprime yang berisiko ini dan ia telah dibeli oleh pelbagai pihak termasuklah bank-bank pelaburan ‘investment banks' yang besar seperti Lehman Brothers yang merupakan syarikat keempat tersebar di Bursa Wall Street.

Apa yang dilakukan ini jika dilihat dari perspektif Islam dinamakan ‘debt trading' atau menjual hutang. Ia difatwakan haram oleh Majlis Fiqh Sedunia dan juga Majlis Shariah Badan Perakauan dan Kewangan Islam Sedunia (AAOFI) iaitu apabila ia dijual lebih rendah dari harga asal hutang (secara diskaun).

Untuk analogi mudah lagi ringkas, ia adalah seperti berikut:-

Encik David berhutang sebanyak RM 1 juta dari Encik Lingam. Encik David dikehendaki membayar semula hutangnya sebanyak RM 1.5 juta dalam 5 tahun. Ini bermakna Encik Lingam mengenakan RM 500,000 riba ke atas Encik David.

Tiba-tiba selepas dua bulan, atas sebab tertentu, Encik Lingam perlukan wang tunai dengan segera, untuk menyegerakan perolehan tunai, Encik Lingam telah menjual hutang Encik David tadi kepada En Chua dengan harga yang lebih rendah iaitu RM 1.3 juta. Walaupun harganya lebih rendahnamun Encik Lingam puas hati kerana ia memperolehinya secara cash atau tunai.

(Inilah yang dimaksudkan jualan hutang secara diskaun, dan ia dianggap riba oleh Ulama antarabangsa kerana wang ditukar dengan wang syaratnya mestilah sama nilai)

Di hujung transaski, Encik Lingam berjaya perolehi wang tunai segera namun sedikit berkurangan dari jumlah yang patut diperolehinya jika dia sanggup menunggu selama 5 tahun.

Dan risiko menunggu bayaran hutang penuh oleh Encik David kini sudah dipindah kepada En Chua, namun En Chua bakal menerima untung riba sebanyak RM 200,000 pula dengan mudah.

Encik David tetap perlu membayar seperti biasa.

Berkemungkinan En Chua akan menjualkannya kepada Encik Mutu pula dengan harga RM 1.2 juta.

Untuk memahami isu yang sedang dibincang, anda hanya menukarnya seperti berikut:-

Encik David - Peminjam miskin dan tidak cukup syarat

Encik Lingam - Syarikat pemberi hutang seperti New Century Financial Corporation

Encik Chua - Lehman Brothers dan lain-lain.

Encik Mutu - Semua bank yang membeli MBS ini dari Lehman, Merrill Lynch dan lain-lain.

Maka apabila encik David gagal membayar hutang, semua pihak akan terancam. Inilah yang berlaku.

Inilah namanya discounted debt trading, ini dikenalpasti berlaku dalam kes subprime. Iaitu apabila pihak bank pelaburan membeli MBS yang mewakili hutang perumahan tadi, mereka telah membayar sejumlah wang yang besar, dan kini mereka bergantung kepada bayaran hutang oleh peminjam-peminjam berisiko tadi. Tiba-tiba peminjam gagal membayar dan sebahagiannya diisytiharkan bankrupt meningkat, menyebabkan keuntungan yang pihak bank jangkakan tidak kunjung tiba, sebaliknya kerugian pula menjelma.



No comments: