KUALA LUMPUR, 20 Mei (BERNAMA)-- Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful  IKHLAS) hari ini melancarkan produk terbarunya Ikhlas Hajj Saving  Takaful.
Ia dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib  Mahmud.
Ikhlas Hajj Saving Takaful ialah pelan perlindungan serta  pelaburan simpanan yang disediakan khusus bagi membantu dan memenuhi keperluan  mereka yang merancang untuk menunaikan ibadah haji.
"Pelan itu ditawarkan  tepat pasa masanya memandangkan ia dapat membantu perancangan mereka yang ingin  menunaikan ibadat haji yang kosnya kini semakin meningkat," kata Ketua Pegawai  Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.
Beliau  berkata pelan itu meliputi perkhidmatan takaful perlindungan serta simpanan yang  lebih terjamin.
Takaful Ikhlas mengunjurkan produk terbaru ini menyumbang  sebanyak RM3 juta bagi tahun kewangan 2009/2010 dan diyakini mampu meningkatkan  perolehan sumbangan kepada Takaful IKHLAS pada tahun-tahun akan  datang.
Antara kelebihan pelan Ikhlas Hajj ialah manfaat hilang upaya  kekal dan menyeluruh, penyakit kritikal yang berpanjangan, serahan, pengeluaran  sebahagian tunai dan matang.
Had umur kemasukan untuk produk terbaru ini  bermula daripada 30 hari hingga 60 tahun.
Maklumat lanjut mengenainya  boleh didapati menerusi www.takaful-ikhlas.com.my.
-- BERNAMA
Tuesday, May 26, 2009
Takaful Ikhlas Lancar Takaful Simpanan Ikhlas Haji
Takaful IKHLAS Anjur Program Keagamaan Di MSAM 2009
KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Syarikat penyedia produk dan  perkhidmatan perlindungan kewangan berasaskan syariah, Takaful IKHLAS Sdn Bhd  (Takaful IKHLAS) menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan sempena Minggu Saham  Amanah Malaysia 2009 (MSAM'09) yang sedang berlangsung di Plaza Angsana, Johor  Baharu dari 18 hingga 27 April.
Sebagai Rakan Program Keagamaan bagi  MSAM'09, Takaful IKHLAS menyediakan gerai yang menawarkan pelbagai maklumat dan  aktiviti mengenai simpanan dan pelaburan yang berlandaskan konsep  syariah.
"Selain memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai konsep  takaful, peranan dan manfaat kemudahan simpanan perlindungan serta produk-produk  kami kepada orang ramai, kami juga menganjurkan aktiviti-aktiviti keagamaan yang  menjadi wadah yang baik bagi semua yang berkunjung ke MSAM'09," kata Presiden  dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Sdn Bhd, Syed Moheeb bin Syed  Kamarulzaman dalam satu kenyataan.
Antara aktiviti menarik yang  dianjurkan adalah kuiz yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan seperti pakej haji  dan umrah serta hadiah sagu hati berupa deposit sebanyak RM200 ke dalam akaun  Tabung Haji untuk pengunjung Muslim dan akaun simpanan bagi pengunjung bukan  Muslim, kata kenyataan itu.
Aktiviti-aktiviti lain adalah pemeriksaan  kesihatan percuma pada 19 April dan 25 April serta rakaman program 'Forum  Perdana', 'Al Kuliyyah' dan 'Al Hidayah' pada 23 hingga 25 April.
Selain  itu, Takaful IKHLAS turut mengundang Pertubuhan Profesional Islam, Pertubuhan  Agensi Pelancongan Muslim serta Dewan Perniagaan Melayu Singapura bagi tujuan  perkongsian ilmu mengenai produk dan perkhidmatan takaful, kata kenyataan  itu.
Takaful IKHLAS yang mula beroperasi pada Julai 2003 merupakan anak  syarikat MNRB Holdings Berhad, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang  disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia di mana pemegang saham utamanya  adalah Permodalan Nasional Berhad melalui Skim Amanah Saham  Bumiputera.
-- BERNAMA